Kelab Pengguna
@SMKSB_


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Blog ini ditubuhkan sempena Pertandingan Kepenggunaan membuat Blog. Blog ini adalah berdasarkan tajuk "Aduan Pengguna dalam Industri Telekomunikasi" di bawah kod tajuk BBM1.

Kulim, Kedah ▴ http://KelabPengguna-SMKSB.blogspot.com


Kelab Pengguna @SMKSB_
Negara Maju Bersama Evolusi Telekomunikasi on Wednesday // 0 comments:


Berikut merupakan hasil tulisan saudara Afiq Hanif yang disiarkan di myMetro.
BARU-BARU ini, Hari Telekomunikasi Sedunia disambut sederhana sebagai memperingati tertubuhnya Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 1865.
Kalau anda ingin tahu, ITU adalah organisasi paling tua di dunia yang menggabungkan serta memberi idea pemba­ngunan sektor telekomunikasi secara menyeluruh dibentuk menerusi Konvensyen Antarabangsa Telegraf Sedunia pertama oleh 20 negara Eropah di Paris pada 17 Mei 1865.
Ia menjadi titik awal Hari Telekomunikasi Sedunia menjadikan persatuan berkenaan kukuh melangkaui sedekad penubuhannya menandakan betapa penting komunikasi dunia.

Malaysia juga tidak terkecuali apabila perkembangan telekomunikasi negara ini berlalu begitu pantas selari arus dunia yang bermula pada 1886 sebaik sistem rangkaian telegraf mula diperkenalkan dan seterusnya revolusi telefon pada 1891.
Foto
TELEFON...kemodenan telekomunikasi.

Tidak perlu diceritakan lagi, prasarana telekomunikasi selepas 1891 melonjak dengan kehebatan telekomunikasi terutama evolusi yang dicipta negara ketika perang suatu ketika dulu.

Perjalanan telekomunikasi negara ini bukan melalui jalan mudah, fasa demi fasa pembangunan prasarana dilaksanakan sehingga Malaysia muncul antara negara utama di rantau ini yang mempunyai perkembangan pesat industri telekomunikasi.

Anda boleh bayangkan evolusi rangkaian generasi keempat (4G) menerusi WiMAX yang paling dekat tidak sampai dua tahun dengan pembabitan sektor swasta bermula sejak 1987 lagi.

Lebih menarik, kemajuan pesat teknologi telekomunikasi turut terkena kesannya kepada bidang lain seperti multimedia, penyiaran, komunikasi dan maklumat.

Pengenalan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) pula mewujudkan gabungan di antara multimedia dan teknologi maklumat (IT).

Penyediaan kemudahan ini menjadikan masyarakat lebih berpengetahuan dan bermaklumat.

Mengikut perangkaan suku tahun keempat tahun lalu, pengguna telefon bimbit melebihi angka penduduk iaitu 28 juta orang, statistik menarik yang menunjukkan betapa perubahan telekomunikasi mencengkam manusia.

Namun, bagaimana perjalanan mencabar telekomunikasi pada masa depan?

Pada asasnya, Malaysia melakukan banyak perubahan dan reformasi dalam sektor telekomunikasi de­ngan pembabitan sektor swasta yang menyokong pembentukan serta pembangunan prasarana telekomunikasi negara.

Kepesatan industri komunikasi berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam menyediakan kemudahan telekomunikasi. Kadar penembusan perkhidmatan oleh pengguna juga meningkat.

Dari sudut teknologi, Malaysia tidak terkebelakang dengan adanya sistem telekomunikasi generasi ketiga (3G), perkhidmatan talian pelanggan digital asimetrik (ADSL) dan WiFi yang diperkenalkan sejak 10 tahun lalu malah ada yang tenggelam dengan rangkaian baru.

Peningkatan ini menunjukkan kepesatan sektor telekomunikasi di negara ini manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengeluarkan lebih banyak lesen dalam usaha meningkat­kan perkhidmatan komunikasi dan mewujudkan persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan.

Walaupun kewujudan banyak teknologi komunikasi termaju masa kini mampu meletakkan Malaysia setaraf negara yang sudah jauh ke depan dalam bidang telekomunikasi, masih wujud kelompongan dalam menyediakan perkhidmatan khususnya kepada masyarakat pengguna luar bandar.

Usaha memajukan telekomunikasi luar bandar pula diberikan kepada Pemberian Perkhidmatan Universal (USP) untuk meluaskan penggunaan perkhidmatan komunikasi serta aplikasi di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan kurang maju.

Pelaksanaan projek USP ini penting untuk memastikan kawasan di bawah kadar penembusan itu mampu menikmati kemudahan telekomunikasi pada masa depan.

Apa yang pasti, USP berupaya menggalakkan pemasangan lebih banyak talian dan aplikasi telekomunikasi di kawasan luar bandar.

Ia seiring usaha memastikan masyarakat di negara ini dapat turut sama dalam arus pemba­ngunan menggunakan teknologi telekomunikasi berkenaan.

Begitu juga dengan Inter­net Desa, program yang direncanakan untuk membawa teknologi ke kawasan luar bandar dan Projek Satu Rumah Satu Komputer yang dilancarkan pada Mac 2004 lalu.

Semua itu ke arah mewujud­kan masyarakat bermaklumat yang mampu menikmati kemudahan komunikasi tanpa mengira kedudukan lokasi atau taraf sosioekonomi menyaingi evolusi telekomunikasi.

Jurang digital wujud disebab­kan ada sesetengah golongan di negara ini tidak mempunyai akses kepada dunia telekomunikasi.

Pelbagai usaha dan pendekatan perlu diambil bagi menga­tasi jurang digital menerusi kerjasama dengan semua pihak sama ada kerajaan atau swasta.

Ukuran jurang digital tidak cukup dengan hanya mencatat­kan pemilikan komputer dan kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar.

Ia sebaliknya perlu diperluaskan kepada kadar celik komputer serta kesan ekonomi yang perlu diberi perhatian.

Tanpa prasarana telekomunikasi yang baik, kemudahan untuk membuat capaian maklumat agak sukar dan secara tidak langsung hasrat untuk menyalurkan maklumat bagi tujuan pembangunan negara akan menjadi sukar.

Sistem telekomunikasi negara terus berkembang dengan pesat terutama dengan perubahan daripada sistem analog kepada sistem digital.

Perubahan ini amat penting kerana sistem digital digunakan dalam teknologi maklumat IT yang menyatukan bidang komunikasi, penyiaran dan maklumat.

Perkembangan pesat IT merangsang peningkatan sistem telekomunikasi di Malaysia bermula dengan sistem analog, sistem digital PCN dan GSM sehinggalah kepada Protokol Aplikasi Tanpa Wayar (WAP), Sistem Radio Paket Am (GPRS), sistem 3G dan terkini, sistem 4G.

Setakat ini, teknologi komunikasi 3G kini menjadi tumpuan pengguna telefon selular di negara ini berdasarkan kemampuannya untuk menghantar maklumat dalam bentuk multimedia yang mempelopori komunikasi ketika ini.

Sistem 3G menyediakan capaian menggunakan gelombang radio yang boleh disalurkan kepada talian tetap atau satelit.

Ia mempunyai kemampuan untuk membuat perayauan di seluruh dunia, menyediakan capaian internet dan aplikasi multimedia termasuk memindah turun permainan menggunakan telefon selular.

Keupayaan sistem 3G yang pantas menyokong perkhidmatan multimedia, penyimpanan mel dalam bentuk multimedia, merekodkan panggilan telefon secara tetap dan kemudahan perayauan secara global.

Pelaksanaan 3G banyak membuka peluang kepada evolusi lain termasuk membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang kreatif dan inovatif untuk menghasilkan maklumat berguna ke pasaran global.

Antara evolusi menerusi 3G termasuk video mengikut permintaan (VoD), permainan, laman sembang, aplikasi perniagaan dan kewangan, hiburan serta urus niaga.

Selain itu, inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diilhamkan pada 1996 turut menggalakkan pembangunan aplikasi bagi sektor telekomunikasi.

MSC bertindak sebagai pusat penyelidikan dan pemba­ngunan dalam pelbagai bidang seperti permainan dan hiburan.

Apa yang diharapkan, perkembangan ini mampu memberi sumbangan bermakna kepada negara terutama bagi membantu mewujudkan industri komunikasi dan multimedia yang berdaya maju dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Bercakap mengenai telekomunikasi juga mengaitkan kita dengan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Bhd (TM) yang baru-baru ini mengetepikan rangkaian jalur lebar nasional (NBN) lain yang sedang dilaksanakan di rantau ini seperti saingannya, Rangkaian Jalur Lebar Negara Generasi Akan Datang (NGNBN) Singapura, Australia dan New Zealand.

Menurut firma penyelidikan industri telekomunikasi, Informa Telecoms & Media (ITM), projek HSBB, usaha sama 70:30 antara TM dan kerajaan, mempunyai 310,000 pelanggan pada April dan melepasi 1.2 juta premis di negara yang mempunyai rangkaian yang dijangka siap pada masanya dan dalam bajet yang ditetapkan.

Kabel gentian optik yang menjadi teknologi untuk mempercepatkan internet terbaik setakat ini terus melangkah maju apabila TM akan memajukan satu lagi projek mega dalam industri telekomunikasi negara apabila merancang membina sistem kabel gentian optik dasar laut utama yang kedua menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak tahun depan.

Perancangan projek kabel dasar laut merentasi Laut China Selatan yang terbaru itu membuktikan komitmen TM mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab IP serantau dan TM sebagai hab pertukaran maklumat utama Asia ke peringkat global.

Secara asasnya, semua kabel dasar laut utama di Sabah dan Sarawak ini sudah menggunakan gentian optik, cuma kabel saluran keluarnya saja masih belum ada gentian optik.

Tahun lalu, TM membelanjakan RM1.4 bilion bagi pembangunan projek HSBB lebih rendah berbanding sekitar RM1.6 bilion hingga RM1.8 bilion yang dibelanjakan pada 2010, dengan perkongsian pelaburan kerajaan kira-kira 50 peratus.

Seterusnya, dunia telekomunikasi tertumpu kepada satu lagi evolusi 4G iaitu LTE yang sudah didapati di sesetengah negara.

Agensi penyelidik, Juniper Research meramalkan jumlah pelanggan untuk rangkaian LTE akan mencecah 24 juta pada 2012, hanya dua tahun selepas versi awal teknologi terbabit diuji.

LTE dijangka menjadi pengganti jangka panjang dalam industri jalur lebar mudah alih kerana ia menawarkan laluan migrasi daripada teknologi 3G/HSPA yang sedia ada dengan lebih baik.

Setakat ini, syarikat telekomunikasi di Malaysia masih di pering­kat permulaan pengenalan LTE dan lebih tepat, hanya perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan rangkaian saja dimeterai, namun prasarananya masih belum kelihatan.

Jadi, apabila beberapa peranti mudah alih yang dilengkapi cip LTE dikeluarkan, ia belum cukup mantap untuk digunakan secara bersepadu yang menggusarkan pengguna di negara ini.


INFO

Pelanggan syarikat telekomunikasi 

Maxis: 14 juta
DiGi: 10 juta
Celcom: 12 juta
U Mobile: 2 juta

*mengikut Q4 2012 
(kecuali U Mobile)
Sumber : MyMetro

Entri Terdahulu | Entri Terbaru



Blog Pengguna